Jumaat, 27 Februari 2009

KETELUSAN JIWA KETIKA BELAJAR

Ketelusan jiwa ketika belajar
Seronok Belajar Oleh Dr Ismail Zain


Bertanya dan berbincang dengan guru untuk memahami subjek yang diajar di dalam bilik darjah.
--------------------------------------------------------------------------------


Kerapkali guru memperingatkan murid-murid supaya jangan "bermain-main" ketika belajar. "Bermain-main" ialah perbuatan yang dilakukan oleh murid-murid yang bertentangan dengan matlamat belajar seperti mengganggu rakan, bergurau-senda atau tidak memberi perhatian dalam kelas. Dengan lain perkataan peringatan ini diberikan kepada murid-murid agar mereka memberi perhatian sepenuhnya terhadap pelajaran atau belajar dengan jiwa yang telus dan ikhlas.

Ketelusan jiwa ketika belajar amat diperlukan kerana ia ialah satu ibadah yang memerlukan tanggungjawab dan pengorbanan yang sepenuhnya daripada murid-murid. Di antara ciri-ciri ketelusan jiwa ialah seperti berikut:

• Tidak menipu diri sendiri

Ramai murid-murid yang menipu diri sendiri ketika belajar! Sebagai contoh apabila guru bertanya sama ada seseorang murid itu memahami pengajaran guru, ramai yang mengangguk kepala tetapi pada hakikatnya mereka masih tidak memahami atau masih dalam keadaan terkeliru. Inilah yang dikatakan menipu diri sendiri. Dalam hal ini muridlah yang rugi dan akhirnya mereka akan ketinggalan disebabkan suka menipu diri sendiri. Oleh itu murid-murid harus telus dan ikhlas ketika belajar. Jika tidak memahami sesuatu topik murid-murid seharusnya bertanya dengan guru untuk mendapat bimbingan tambahan.

• Memberi perhatian sepenuhnya terhadap pembelajaran.

Memberi perhatian sepenuhnya dalam kelas amat diperlukan ketika belajar. Ia bukan sahaja melibatkan mata, telinga dan anggota badan sahaja tetapi keseluruhan aspek termasuk minda dan jiwa. Minda seharusnya tertumpu kepada topik yang sedang dipelajari bukannya berada dalam keadaan khayalan. Manakala jiwa pula seharusnya bersemangat, berminat serta melibatkan sepenuhnya dalam sebarang aktiviti yang berlaku dalam proses pembelajaran tersebut.

• Persediaan diri

Untuk memastikan proses pembelajaran berlangsung dengan licin tanpa gangguan, murid-muris harus membuat persediaan diri terlebih awal. Sebagai contoh murid harus membawa segala peralatan yang diperlukan dalam mata pelajaran yang tertentu. Manakala buku teks, buku kerja atau buku nota harus dibawa bersama untuk gerakkerja aktiviti. Gagal untuk melakukannya bermakna murid-murid tidak membuat pesiapan diri dan ini akan menjejas proses pembelajaran.

Jika tiga perkara yang disebut di atas dapat dilakukan dengan sempurna, syabas! murid-murid sudah mempunyai ciri-ciri awal ketelusan jiwa dalam proses pembelajaran yang akan membawa kejayaan diri.

Aktiviti kumpulan:

Senaraikan peranan yang harus dimainkan oleh murid-murid agar perhatian dapat diberikan sepenuhnya ketika guru mengajar. Bincangkan bersama rakan-rakan dalam kumpulan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan