Rabu, 29 April 2009

Keberkesanan iMindMap


Keberkesanan iMindMap

Oleh SUBASHINI RAJANDRA
subashini.rajandra@kosmo.com.my



HASIL peta minda yang diilhamkan oleh Patrick Wong.

--------------------------------------------------------------------------------



CHRIS TIEW menunjukkan sebahagian daripada buku-buku mengenai iMindMap.

--------------------------------------------------------------------------------



JIKA anda seorang pelajar atau graduan di universiti, pasti anda berhadapan dengan masalah menyalin nota yang bertimbun-timbun. Ramai dalam kalangan kita suka menulis nota ringkas apabila guru atau pensyarah menulis di papan hitam atau putih. Sebenarnya, teknik konvensional itu tidak banyak membantu pelajar.

"Bagaimana pula dengan peta minda? Jangan keliru antara peta minda dengan peta konsep atau idea," ujar Tam Lye Suan, Pengarah Buzan Malaysia ketika ditemui Kosmo! di Petaling Jaya. Katanya, ramai pelajar termasuk tenaga pengajar dan korporat gagal memanfaatkan keunikan teknik peta minda.

Bagi membantu menguatkan daya ingatan, tanpa mengira umur dan latar belakang kerjaya, peta minda adalah unit pembelajaran dan pengajaran yang efisien dan mantap.

iMindMap atau juga dikenali sebagai mind mapping dalam bahasa Inggeris adalah sebuah perisian yang diperkenalkan oleh Tony Buzan. Membawa dunia pemikiran seseorang ke tahap yang lebih tinggi, iMindMap mengoptimumkan potensi pemikiran dalam segala aspek kehidupan.

Bersifat peribadi, mesra dan fleksibel, perisian itu mudah digunakan di mana juga dan dalam tempoh masa singkat. "Seseorang itu boleh mencapai kejayaan dengan hanya menggunakan 10 peratus daripada daya kognitif otak. Dengan mempraktikkan peta minda, anda boleh membongkar 90 peratus lagi tahap kebijaksanaan yang tidak pernah digunakan," kata Tony Buzan.

Pengarah Urusan Buzan Malaysia, Chris Tiew, tidak menyangkal kebaikan alat itu kepada hampir sesiapa sahaja. Malah, kanak-kanak berusia tujuh tahun dapat menguasai teknik pembelajaran yang meluas.

Dalam satu kelas percubaan yang dihadiri 40 kanak-kanak berusia tujuh hingga 16 tahun, didapati ramai daripada mereka memberi respons yang positif. Di sebuah papan putih, terpampang sedozen kertas A4 dengan peta minda yang dilukis secara kreatif oleh kanak-kanak itu.

"Pada hari ketiga, kami memberi satu artikel dan meminta mereka mengekstrak perkataan atau fakta penting. Dari situ, lahirlah hasil yang menakjubkan," jelas Tiew sambil menunjukkan hasil kerja Patrick Wong, 10, tentang habitat cicak.

Biarpun produk ini agak baru di Malaysia, dipercayai kira-kira 250 juta orang di lebih 150 buah negara di dunia mengaplikasikan iMindMap dalam kehidupan seharian. Ia juga diterjemahkan ke dalam 30 bahasa.

iMindMap hakikatnya memaksimumkan penggunaan kedua-dua bahagian otak di sebelah kanan dan kiri. Biasanya, bahagian kiri otak merangkumi kebolehan untuk menelaah perkataan, nombor, garisan, senarai, logik dan menganalisis. Bahagian kanan otak pula dikaitkan dengan ritma atau muzik, warna, bentuk, peta, kreativiti dan berkhayal (bermimpi pada siang hari).

Produk itu kini disasarkan ke sekolah, kolej dan universiti. Dalam pada itu, Buzan Malaysia akan menganjurkan persidangan dua hari untuk golongan pengajar dan ibu bapa. Mereka yang berminat boleh menyertainya dengan mendaftarkan diri. Maklumat lanjut seperti berikut:

Tarikh: 4 - 5 Mei 2009

Masa: 9 hingga 5 petang

Tempat: Holiday Inn, Glenmarie,

Shah Alam

Penceramah: Tony Buzan (4 Mei) dan

Henry Toi (5 Mei)

Harga Tiket: RM990 untuk dua hari

termasuk makan tengah hari dan

minum petang. Diskaun secara

berkumpulan juga ditawarkan.

* Untuk maklumat lanjut, sila hubungi talian 012-668 1928 atau 012-328 1262 atau e-mel ke events@buzanmalaysia.com.

Sabtu, 25 April 2009

MANFAAT MEMBACA


Manfaat membaca
Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my


SATU ketika Syeikh Abdul Kadir Jailani mendengar suatu suara mengaku sebagai Tuhan serta menyatakan beliau mencapai taraf kedudukan yang tinggi di sisi Tuhannya.

SATU ketika Syeikh Abdul Kadir Jailani mendengar suatu suara mengaku sebagai Tuhan serta menyatakan beliau mencapai taraf kedudukan yang tinggi di sisi Tuhannya.

“Wahai Abdul Kadir, aku adalah Tuhanmu. Engkau sudah mencapai darjat kekasihku. Mulai hari ini, aku halalkan bagimu apa yang aku haramkan atas hamba-hambaku.”

Mendengar seruan itu, tahulah Syeikh Abdul Kadir yang ia adalah suara syaitan cuba memperdayakannya. “Celakalah kau syaitan! Sesungguhnya Tuhanku tidak akan menghalalkan apa yang sudah diharamkan-Nya.”

Syaitan tidak berputus asa, lalu ia berkata lagi: “Sudah ramai wali Allah yang berjaya aku sesatkan dengan helahku, tetapi engkau sudah selamat dari tipuanku kerana ilmumu tinggi.”

Balas Syeikh Abdul Kadir: “Celakalah engkau, bukan ilmuku yang menyelamatkan aku dari sebarang tipu dayamu, tetapi rahmat Allah jualah yang dapat menyelamatkan aku.”

Demikianlah secebis kisah orang berilmu, tidak sedikitpun terpedaya dengan umpanan syaitan. Berbeza dengan orang jahil yang mudah tewas dengan pujuk rayu makhluk terkutuk itu.

Wujud perbezaan ketara di antara orang berilmu dan jahil. Orang berilmu lebih mulia peribadi dan kedudukannya, bahkan dalam ibadat tinggi kualitinya, manakala kehidupannya pula lebih berhati-berhati, tetapi tidak pada orang jahil.

Ini sebagaimana ditegaskan dalam firman Allah, ayat 9 surah az-Zumar, antara lain bermaksud: “Katakanlah: Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?

Setiap orang memiliki potensi untuk meraih ilmu dan mengembangkannya dengan izin Allah. Oleh itu, kita diperintahkan untuk menempuh jalan melalui pelbagai cara untuk memperolehnya khususnya dengan membaca.

Membaca juga perintah pertama yang disampaikan malaikat Jibril kepada Rasulullah.

“Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah. Tuhanmu adalah Maha Mulia, yang mengajarkan manusia menulis dengan pena. Mengajarkan manusia apa saja yang tidak diketahui.” (al-Alaq: 1-5)

Menurut Dr Gamal Zakaria dalam bukunya berjudul Jalan Menuju Kedamaian, membaca adalah perintah yang paling penting dan paling bermakna ditujukan kepada seluruh umat manusia.

“Kenapa perintah pertama mesti membaca? Betapa pentingnya membaca, Allah s.w.t menurunkan perintah terbabit pada wahyu pertama dengan mengulangi kalimah iqra’ sebanyak dua kali,” katanya.

Beliau berkata, pada ayat terbabit, Allah s.w.t menjanjikan kepada sesiapa yang membaca kerana Allah akan dikurniakan kepadanya anugerah ilmu, pemahaman dan wawasan baru, walaupun objeknya sama.

“Janji Allah dapat dibuktikan dengan sangat jelas dan pasti, ketika kita membaca ayat al-Quran.

“Semakin banyak dan berulang kali kita membacanya, akan muncul penafsiran baru, pengembangan pendapat terdahulu dan keajaiban walaupun membaca ayat yang sama.

“Begitu juga halnya ketika ahli pengkaji membaca alam jagat raya melalui fenomena dan kejadiannya, akan lahirlah penemuan dan teori baru,” katanya.

Kita mendapati orang yang berilmu tabiatnya suka membaca.

Membaca membekalkan ilmu dan keperluan utama untuk membangunkan sebuah peradaban dan bangsa yang maju.

Dr Gamal berkata, semakin mantap dan bermutu bacaan sesuatu bangsa, semakin tinggi peradabannya.

“Hal ini dibuktikan oleh bangsa yang maju dan memiliki peradaban yang tinggi. Mereka adalah bangsa yang rajin membaca buku berkualiti dan menjadikan budaya membaca sebahagian daripada keperluan hidup mereka.

“Bertitik tolak daripada budaya membaca ini lahir karya agung dalam berbagai-bagai bidang.

“Namun ironinya, masyarakat kita pada hari ini adalah masyarakat yang malas membaca termasuk warga kampus.

“Pensyarah dan mahasiswa jarang mengunjungi perpustakaan sehingga masih banyak buku yang belum terjamah.

“Masyarakat kita gemar membaca bahan yang bercorak hiburan, sukan dan hobi berbanding buku ilmiah,” katanya.

Bahkan tidak mustahil juga dengan tabiat malas membaca, menyebabkan semakin ramai orang yang jahil lagi bodoh, sehingga orang ini mengambil tempat dalam masyarakat dan negara, mengakibatkan semuanya punah.

Maksud sabda Nabi s.a.w berikut wajar direnungi: “Allah tidak menarik kembali pengetahuan dengan jalan mencabutnya dari hati manusia, tetapi dengan jalan mematikan orang yang berilmu. Apabila orang berpengetahuan sudah punah, masyarakat mengangkat orang bodoh menjadi pemimpin dan tempat bertanya. Orang ini akan berfatwa tanpa ilmu, mereka itu sesat dan menyesatkan.”

Isnin, 20 April 2009


Kesabaran Yong berbaloi


IMPIAN Yong Azua yang ditulis pada sekeping kertas dan dilekatkan di dinding biliknya di Kuarters JKR, Jerantut, Pahang.

--------------------------------------------------------------------------------



YONG AZUA memeluk ibu kesayangan, Rosni Abdullah.

--------------------------------------------------------------------------------



HATI ibu mana yang tidak sejuk melihat anak yang dikandungnya selama sembilan bulan 10 hari kini membesar sihat dan berjaya dalam kehidupan.

Itulah gambaran awal yang diberi oleh Rosni Abdullah, 43, tatkala bercerita tentang anak keduanya, Yong Azua Mat, 23.

Yong merupakan satu-satunya anak Rosni (setakat hari ini) yang berjaya menjejak kaki ke menara gading. Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Melaka yang menyaksikan kecekalan dan kesabaran anak gadisnya menjalani kehidupan kampus yang begitu mencabar bagi orang miskin sepertinya.

Namun hari ini, kesemua pengorbanan tersebut berbaloi apabila segala penat lelah dan kepayahan Yong mengharungi kehidupan kampus yang memeritkan berbalas juga akhirnya.

Pada hari ini, Yong memulakan hari pertama sebagai eksekutif perakaunan di Touch Matrix Sdn. Bhd., Kuantan, Pahang manakala pada Jun ini pula, Yong akan naik ke pentas untuk menerima segulung Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kewangan UiTM.

"Insya-Allah, saya akan datang ke majlis konvokesyen Yong. Masa dia (Yong) terima diploma dahulu, saya tak datang sebab tak cukup duit,'' dedah Rosni yang ceria tatkala bercerita tentang anak keduanya itu.

Yong ketika diajak berkongsi kisah kemiskinan keluarga pada mulanya agak berat mulut untuk bercerita.

"Tak apalah...dah keluar dalam Kosmo!...dalam TV,'' katanya.

Namun setelah dipujuk, barulah Yong rancak bercerita.

"Sepanjang di kampus, saya tidak pernah bercerita dengan kawan-kawan tentang kehidupan di kampung. Saya malu..., Lebih baik mereka (kawan-kawan) tak tahu. Kalau tahu...banyak pula yang akan menyoal itu dan ini,'' kata Yong.

Berikutan kesempitan hidup, Yong lebih banyak menghabiskan masa di bilik asrama untuk mengulang kaji pelajaran dan melayari Internet bagi menambah pengetahuan berkaitan bidang pengajiannya.

Apa cerita yang paling tak dapat dilupakan ketika di kampus?

"Banyak...tapi paling tak boleh saya lupa adalah ketika saya terpaksa ikat perut untuk menjimatkan belanja.

"Di kampus, makan Maggie memang biasa. Tetapi saya terpaksa kerat empat sebungkus Maggie dan makan satu bahagian sahaja. Yang lain simpan untuk hari esok. Kalau lapar, makan biskut kering sahaja,'' ceritanya tanpa berselindung.

Begitu juga dalam bab menyediakan yuran pendaftaran sebagai pelajar baru sebanyak RM1,200.

"Itu juga sukar dilupakan dan membuatkan saya hampir-hampir putus asa. Mana nak cari duit sebanyak itu, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) baru nak mohon. Terpaksalah minta ayah sediakan juga dan pinjam daripada kawan-kawan,'' katanya yang terpaksa menebalkan muka untuk meminjam wang tersebut.

Berkat kesabaran dan kesungguhan Yong mengikuti pengajian, dia bukan sekadar lulus biasa tetapi muncul sebagai pelajar cemerlang dan pernah dua kali menerima Anugerah Dekan kerana cemerlang dalam peperiksaan semester.

"Alhamdulillah, saya sudahpun dapat kerja. Ada empat impian yang akan saya tunaikan iaitu bantu adik-adik belajar, kumpul duit untuk beli rumah ibu dan ayah, beli kereta dan hantar ibu bapa ke tanah suci Mekah. Semua itu, saya buat untuk keluarga. Tentang diri saya, ...nantilah dulu,'' ujarnya mengakhiri perbualan.

Pada satu perkembangan lain, Setiausaha Jawatankuasa Kerja (JKK) Kampung Sepial, Jerantut, Pahang, Halimi Musa berkata, pihaknya mahu membetulkan fakta bahawa kampung tempat tinggal Rosni bukanlah Kampung Sepial.

Menurutnya, Rosni tinggal di Kuala Tembeling yang berdekatan dengan Kampung Sepial. "Sebab itulah, saya tidak tahu tentang kehidupan beliau sekeluarga yang begitu miskin sehingga terpaksa berpindah ke dalam hutan.

"Ini kerana, selaku Setiausaha JKK Kampung Sepial, saya sentiasa mengemas kini data dan profil penduduk kampung termasuk keluarga miskin, ibu tunggal dan anak-anak yatim dari semasa ke semasa untuk diserahkan kepada Penghulu bagi tindakan lanjut.

"Statistik terkini menunjukkan terdapat 12 ibu tunggal dan tiga anak-anak yatim di Kampung Sepial. Jumlah itu tidak termasuk keluarga Rosni kerana dia tidak tinggal di kampung kami,'' ujarnya membetulkan kenyataan yang disiarkan oleh media bahawa Rosni tinggal di Kampung Sepial sebelum berpindah ke dalam hutan.

Menjelaskan perkara tersebut, Halimi berkata, laporan akhbar Kosmo! bertarikh 2 Mac 2009 di muka hadapan yang menyebut bahawa Rosni tinggal di Kampung Sepial telah mendorongnya keluar mencari ibu tunggal itu.

"Bila baca Kosmo!, saya terkejut kerana setahu saya, tidak ada ibu tunggal bernama Rosni menetap di Kampung Sepial. Sungguhpun begitu, saya tetap mencarinya atas dasar kemanusiaan,'' ujarnya.

Menurutnya, pencarian itu menemukannya dengan Rosni di pondok yang didirikan di tanah milik KTMB di dalam hutan tersebut.

"Apabila diperiksa, tanah itu terletak di dalam kawasan Mela, Kuala Lipis dan bukan lagi daerah Jerantut seperti yang dilaporkan. Apabila ini berlaku, saya terpaksa merujuk kes beliau ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Lipis,'' jelasnya.

Mengulas kelewatan bantuan kewangan sebanyak RM450 sebulan yang sepatutnya diterima Rosni pada awal bulan ini, Halimi berkata, ia mungkin berlaku kerana pejabat JKM di Kuala Lipis perlu memindahkan fail Rosni ke pejabat JKM Jerantut.

"Memandangkan Rosni kini tinggal di Kuarters JKR, Batu 1, Jerantut, maka segala urusan pembayaran akan diuruskan oleh JKM Jerantut. Mungkin sebab itulah, beliau masih belum menerima bantuan tersebut,'' ujarnya.

Halimi mengakui memang terdapat beberapa keluarga miskin di kampungnya tetapi tidaklah semiskin keluarga Rosni.

"Kemiskinan Rosni adalah kerana suaminya tidak mempunyai pekerjaan tetap, selain mempunyai anak yang ramai. Saya difahamkan, beliau hanya memelihara anak bongsunya di rumah ibunya di Felda Sungai Tekam Utara manakala anak-anak lain dijaga oleh bekas suami. Sebab itulah, beliau hanya layak menerima bantuan JKM sebanyak RM70 sebulan kerana hanya menjaga seorang anak.

"Tetapi memandangkan kini, kesemua anak-anaknya di bawah jagaannya di Kuarters JKR Jerantut, maka JKM telah meluluskan bantuan kewangan sebanyak RM450 sebulan,'' katanya yang berharap Rosni bersabar menunggu bantuan yang telah dijanjikan. - ROHANA MAN