Sabtu, 21 Mac 2009

BELAJAR SECARA BERTERUSAN

Belajar secara berterusan
Seronok Belajar Oleh Dr Ismail Zain

RASA bimbang, takut, kurang yakin serta tidak memahami pelajaran adalah akibat kurangnya tindakan secara berterusan dalam proses mengulang kaji pelajaran.

Kebiasaannya bagi murid yang tidak menduduki peperiksaan awam, tindakan mengulang kaji pelajaran dilakukan sambil lewa sahaja. Ramai murid yang tidak mempunyai jadual waktu belajar secara khusus. Belajar hanya dilakukan mengikut “mood” atau untuk tujuan menduduki ujian semata-mata. Oleh itu terdapat banyak topik yang tertinggal tanpa diberi perhatian. Murid-murid akan merasai kesannya apabila tiban musim peperiksaan di mana pelbagai permasalahan dalam pelajaran akan ditempuhi oleh mereka akibat daripada kelalaian mereka mengulang kaji di peringkat awal.

Bagi murid tahun empat atau lima situasi seperti ini harus dihindari. Tindakan harus dilakukan segera terutama di akhir-akhir tahun atau pada masa cuti panjang persekolahan. Di antara langkah belajar secara berterusan adalah seperti berikut:

• Persediaan jadual waktu belajar: Belajar secara berterusan memerlukan seseorang murid merangka jadual waktu belajar sendiri. Jadual belajar bertindak mendisplinkan diri serta mampu memperhitung dan memperuntukkan waktu dalam menentukan tindakan yang harus diberi keutamaan. Jadual belajar juga mampu memberi satu gambaran penggunaan masa dalam jangka masa tertentu di samping menetapkan hala tuju dalam kehidupan seharian.

• Tugasan rumah: Tugasan yang diberikan oleh guru untuk dilakukan oleh murid-murid merupakan tindakan susulan pelajaran di sekolah bertujuan untuk memperlengkapkan keseluruhan proses belajar. Ia juga boleh dianggap sebagai satu bentuk alat pengukur untuk mempastikan sama ada hasilan pembelajaran yang ditetapkan oleh guru pada satu-satu topik itu dapat dicapai ataupun tidak. Perkara ini harus diberi perhatian yang serius kerana kegagalan pelajar melengkapkannya akan memberikan maklum balas yang salah kepada guru dan itu akan menggugat perancangan guru selanjutnya. Proses pemulihan dan pengayaan mungkin tidak dapat dijalankan dengan berkesan. Oleh itu ia akan merugikan murid-murid sendiri.

• Perbincangan dan rujukan: Perbincangan dengan rakan-rakan dari semasa ke semasa serta rujukan di pusat sumber secara berterusan mampu mengekalkan daya ingatan terhadap pelajaran. Rujukan bukan hanya terbatas pada pusat sumber sahaja tetapi boleh juga dilakukan secara tidak formal seperti lawatan, menonton rancangan bercorak pendidikan atau menghadiri majlis ilmu seperti ceramah, bengkel motivasi atau menyertai pertandingan anjuran badan-badan tertentu.

Bersesuaian dengan konsep “Belajar Sepanjang Hayat” maka murid-murid haruslah mengamalkan proses belajar secara berterusan agar ia dapat dijadikan satu tabiat yang boleh menyeronokkan kita ketika belajar.

Jumaat, 13 Mac 2009

Kesempitan hidup bukan penghalang kejayaan

Seronok Belajar Oleh Dr Ismail Zain





RAMAI yang beranggapan bahawa kejayaan akan terhalang akhibat daripada kesempitan hidup. Kebiasaannya kesempitan hidup dikaitkan dengan kemiskinan atau kurang keupayaan. Oleh itu tidak hairanlah jika seseorang murid memberi sebab kemiskinan sebagai alasan apabila gagal atau tidak dapat meneruskan pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

Sebenarnya kejayaan atau kegagalan seseorang murid itu tidak semestinya berpunca daripada kesempitan hidup. Malah ramai murid-murid yang berjaya dengan cemerlang datangnya dari golongan yang berpendapatan rendah. Ada juga murid-murid yang berjaya ini mempunyai latar belakang perpecahan kekeluargaan. Terdapat juga di antara mereka yang terdiri daripada golongan orang kurang upaya (OKU). Sebagai contoh ada pelajar yang cacat anggota badan iaitu tiada kaki dan tangan tetapi berjaya mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Oleh yang demikian janganlah kesempitan hidup ini dijadikan alasan atau penghalang ke arah kejayaan malah ia harus dijadikan perangsang untuk terus berusaha dengan lebih gigih lagi dengan mengamalkan tanggapan yang lebih positif seperti berikut:-

• Cabaran: Anggaplah kesempitan hidup itu sebagai satu cabaran. Cabaran bermaksud satu situasi atau kesukaran yang dihadapi bertujuan untuk menguji kebolehan kita untuk bertindak. Jika kita bertindak secara positif iaitu sanggup bersusah payah serta berusaha dengan gigih maka hasilnya juga akan memberi kebaikan iaitu kejayaan. Sebaliknya jika kita bertindak secara negatif dengan hanya menyerah pada nasib sahaja tanpa membuat sesuatu tindakan, maka sudah tentulah kegagalan akan kita temui.

• Kesabaran: Kesabaran itu adalah keimanan. Kejayaan tidak boleh dicapai secara sekelip mata. Kita harus bersabar dan menggunakan masa sebanyak mungkin untuk mencapai kejayaan. Sesungguhnya kehidupan ini merupakan satu kitaran. Kita tidak semestinya berada di bawah sepanjang masa. Insya-Allah pada satu masa nanti berkat kesabaran yang diamalkan kita juga akan berjaya berada di atas iaitu mampu menikmati kebahagiaan dan kejayaan seperti orang lain. Hanya masa menentukannya.

• Ketakwaaan: Seseorang yang bertakwa mampu mengawal diri daripada sifat-sifat yang keji seperti malas belajar, cepat berputus asa, bosan, tidak bersemangat serta berkelakuan biadap terhadap rakan, guru dan ibu bapa. Oleh itu perbetulkan sikap dan sifat yang ada pada diri kita. Bersyukurlah kepada Allah kerana selama ini kita masih mampu hidup di dunia ini.

Semoga usaha yang gigih, semangat yang kental serta jiwa yang murni mampu mengatasi segala kesempitan hidup ke arah mencapai kejayaan.

Jumaat, 6 Mac 2009

PELAJAR BIJAK

Pelajar Bijak
Oleh Dr. Ismail Zain

Ramai dalam kalangan pelajar yang cuba membanding-bandingkan tahap pencapaian antara mereka. Dalam keadaan ini apabila prestasi seseorang itu tinggi, ia dianggap sebagai seorang pelajar yang "pandai", dan jika prestasi seseorang itu rendah ia dianggap sebagai seorang pelajar yang "bodoh".

Sebenarnya dalam proses pembelajaran tidak ada siapa yang dianggap "pandai" atau "bodoh". Seseorang pelajar yang menganggapkan dirinya pandai akan berakhir dengan sikap yang angkuh serta tidak mahu bekerjasama dengan pelajar lain. Pelajar ini juga sering kali enggan menghadiri kelas tambahan dengan alasan mereka sudah memahami topik pembelajaran tersebut.

Begitu juga dengan pelajar yang menganggapkan diri mereka "bodoh" berakhir dengan perasaan rendah diri serta tidak mampu bersaing dengan pelajar lain. Mereka juga sering ponteng dalam kelas-kelas tambahan dengan alasan mereka tidak mampu belajar dan menganggapkan pelajaran itu amat susah untuk difahami.

Dalam hal ini kita harus menjadi seorang pelajar yang "bijak". Pelajar bijak akan menggunakan setiap peluang yang ada untuk membaiki diri. Walaupun mereka sudah memahami pelajaran yang diajar oleh guru tetapi sanggup datang semula ke kelas-kelas tambahan, bertanya dengan guru, mencari bahan di pusat sumber serta berbincang dengan rakan-rakan dengan harapan prestasi yang baik itu dapat dikekalkan.

Bagi pelajar yang prestasinya rendah tetapi bijak akan sentiasa berfikiran positif. Mereka tidak berputus asa malah berusaha dengan sepenuh jiwa untuk menghadiri sebarang kelas tambahan atau sanggup mencari pelbagai bahan untuk dijadikan rujukan ke arah membuat penambahbaikan diri.

Sebagai semakan pelajar bijak mempunyai ciri-ciri diri seperti berikut:

• Percaya kepada kebolehan diri yang dianugerahkan Allah. Walaupun Allah menentukan segala-galanya tetapi manusia harus merancang. Kita dilahirkan bukan untuk gagal tetapi untuk berjaya dalam kehidupan dunia dan akhirat. Untuk berjaya usaha harus dilakukan secara sepenuhnya dengan menggunakan kebolehan diri yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita.

• Tidak menyalahkan sesiapa dalam sesuatu situasi. Tuduh menuduh atau salah menyalahi antara satu sama lain tidak dapat menyelesaikan masalah. Apa yang harus dilakukan ialah pelajar sendiri harus menerima hakikat sebenarnya, mencari jalan penyelesaian serta membuat penambahbaikan pada diri sendiri.

• Beranggapan bahawa setiap yang susah itu dapat diatasi dengan cara berusaha untuk mengatasinya. Kesusahan dan kesukaran itu ialah cabaran dalam kehidupan. Cabaran pula ialah pengalaman yang mampu mematangkan fikiran serta memperkasakan diri dalam proses mencapai kejayaan.

Justeru, setiap pelajar harus mempunyai sifat yang bijak ketika belajar. Kebijaksanaan mampu mengikis sifat yang negatif serta memupuk sifat jati diri di jiwa pelajar.