Selasa, 6 Januari 2009


KECEWA, sedih, hilang keyakinan dan malu antara perasaan yang pernah bersarang di hatinya ketika menuntut di Matrikulasi Gopeng, Perak. Sementelah rakan seperjuangan yang lain memperoleh mata peperiksaan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) melebihi purata 3.5, tetapi dia memperoleh sebaliknya.


Walaupun sudah memberikan tumpuan sepenuhnya di dalam kelas dan mengulangkaji pelajaran, keputusan peperiksaan Natriesha Md. Hashim tidak pernah berubah. Tetap berada di bawah paras purata 2.0. Ternyata situasi tersebut benar-benar membuat remaja 21 tahun ini berasa rendah diri dan hilang keyakinan.


Sampai bila dia harus menanggung kekecewaan itu? Setiap kali memikirkan nasibnya dan mengenangkan harapan ibu bapanya yang menggunung, anak kelahiran Kuala Lumpur ini pasti menitiskan air mata.


Tiba saja musim peperiksaan perasaannya menjadi tidak keruan. Tumpuan mengulangkaji pelajaran pun terganggu kerana memikirkan markah peperiksaan yang bakal diperoleh.


Aliran sains ternyata bukan minatnya. Enggan membuang masa, Natriesha mengambil keputusan menamatkan pengajian di matrikulasi dan mendaftarkan diri di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Rezeki berpihak kepadanya apabila dia diterima belajar di UiTM, Jengka, Pahang.
Namun, Natriesha atau mesra disapa Nat, sekali lagi berdepan dengan cabaran yang berat.


Keinginannya mendalami bidang pengajian bahasa Inggeris (TESL) tidak kesampaian, sebaliknya terpilih menuntut dalam jurusan Diploma Pengurusan Bank selama tiga tahun.


"Saya sedih apabila terpaksa belajar subjek yang tidak diminati kerana bimbang sejarah di matrikulasi berulang. Oleh itu, saya memohon pada pihak UiTM untuk menukar jurusan. Malangnya, saya perlu meneruskan pengajian selama satu semester dan permohonan akan diterima sekiranya mendapat keputusan peperiksaan yang baik.


"Mendengar syarat yang dikenakan, saya belajar bersungguh-sungguh supaya layak menukar jurusan yang disukai. Sepanjang menghadiri kuliah dan melakukan tugasan, hari demi hari saya mula mencintai bidang pengurusan bank. Rasa lebih teruja apabila berjaya mendapat markah yang terbaik dalam ujian bulanan," ujarnya yang berasa puas kerana pada peperiksaan semester pertama dia berjaya mendapat PNGK, 3.87.


Sejak itu, Nat melupakan hasratnya untuk menukar jurusan kerana dia yakin jurusan yang dipelajarinya kini mampu membawanya ke arah kejayaan dan kepuasan yang selama ini dicari-cari. Ini memandangkan setiap tahun PNGKnya tidak pernah kurang daripada purata 3.85.


Bagaimana dia boleh cemerlang dalam pelajaran? graduan yang gemar melibatkan diri dalam kerja kemasyarakatan ini mempraktikkan gaya pembelajaran yang tersendiri.


Selain duduk di barisan depan di dalam kelas, Nat juga kerap berbincang bersama tenaga pengajar mengenai topik yang tidak difahami dan membuat nota-nota kecil sebagai persediaan.


Tambahnya: "Saya lebih cenderung belajar pada saat akhir kerana ilmu mudah masuk ke dalam otak. Nota-nota kecil yang dibuat pada awal semester banyak membantu dan mempercepatkan proses menghafal.


"Bukan itu sahaja, kesihatan dan pemakanan juga perlu dititikberatkan kerana faktor ini turut memainkan peranan kita sebagai seorang pelajar. Elakkan makanan atau aktiviti kurang sihat yang boleh melemahkan otak."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan